Sunday 18 August 2013

Hadis serta Rahsia Senyuman

Bismillahirahmannirrahim. Robbisyrohlii shodrii wayassirlii amrii wahlul 'uqdatan min lisaanii yafqohuu qoulii, Allohumma innii a'uudzubika an adlilla au udlolla au azilla au uzalla au adhlima au udhlama au ajhala au yujhala alayya. Allahhumma solli ‘ala saidina Muhammad wa ‘ala aalihi wa as-haabihi ajma’iin. Ammabagdu. 

Assalamualaikum. Jutaan kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wa Taala dengan taufik dah hidayah daripada-Nya, saya telah diberi masa dan sedikit ilmu pengetahuan serta tenaga untuk menyiapkan satu sesi ceramah melalui blog Iqra’ untuk menyebarkan dakwah al-Islamiah. Mudah-mudahan ia dapat memberi manfaat kepada pembaca Muslimin dan Muslimat khususnya golongan muda yang baru menjinakkan diri dengan agama. Terima kasih juga kepada semua pihak yang membantu secara langsung ataupun tidak langsung.

Hari ini Insyaallah kita akan membincangkan satu tajuk yang selalu kita dengar tetapi kita tak ambil kisah iaitu tajuk ‘Senyuman’. Pernah tak ustaz-ustaz atau ustazah-ustazah anda memberi ceramah khas tentang ‘Senyuman’? Setahu saya selama saya bersekolah sehingga sekarang tak pernah lagi seorang yang alim membincangkan topik ‘Senyuman’ ini. Yang saya tahu para alim ulama ini hanya ada menyelitkan ibadah senyum sedikit di dalam ceramah mereka tetapi tidak ada yang secara langsung yang memberi ceramah khas berkenaan ‘Senyuman’. Kalau saudara saudari pernah dengar ceramah khas tentang ‘Senyuman’, Alhamdulillah kerana disitu kita akan melihat darjatnya perbuatan yang remeh-temeh buat kita yang jahil ini.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian,

Perbuatan memberi senyuman ini perbuatan yang amat mulia disisi Allah dan Rasul-Nya. Nabi Muhammad SAW amatlah menitik beratkan perbuatan yang terlalu senang atau mudah dilakukan ini. Oleh itu, kita sebagai umat Rasulullah SAW yakni Rasul akhir zaman seharusnya tidak mengambil mudah akan hal ini. Bagi kita semua termasuk saya memandang perbuatan ini remeh temeh dan macam tiada faedah member senyuman tetapi bagi Nabi Junjungan kita menyatakan bahawa senyuman ini amatlah mulia. Seperti sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud “Janganlah kamu meremehkan kebaikan sekecil apa pun, sekalipun itu hanya bermuka manis saat berjumpa saudaramu.” (Hadis Riwayat Muslim)


Nampak tak betapa hebatnya senyuman kita? Nabi pun memperakui bahawa senyuman kita ini ibadah. Dalilnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Tersenyum ketika bertemu saudaramu adalah ibadah.” (Hadis Riwayat Tirmizi, Ibnu Haban dan Baihaqi). Senyum pun dikira ibadah, begitu indah Islam ini. Apabila saya sebut ibadah, saya pasti saudara saudari mesti memikirkan ibadah solat, puasa, zakat dan lain-lain, tapi kita tidak tahu bahawa ibadah yang hampir setiap minit yang kita lakukan yakni ibadah senyum. Bukannya susah, hanya perlu memimikkan muka kita sahaja. Oleh itu kita perlu selalu mengunjungi rumah Allah Subhanahu Wa Taala, kita perlu membaca cerita, rencana, artikel yang berkaitan dengan Islam untuk memantapkan lagi iman yang sedia adadan sekaligus menjadi orang yang alim. Alim bukan bermakna kuat agama, ataupun kuat ibadah tetapi alim merujuk kepada Ilmu yang ada dalam diri kita.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian,

Rasulullah SAW bersabda bahawa anak keturunan Adam memiliki kewajipan untuk bersedekah setiap harinya sejak matahari mulai terbit. Semua tertanya-tanya betul ke? Jawpannya ‘Yes’ memang betul. Mesti ada yang cakap, “Saya ni orang susah, nak makan pun susah, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, kalau tak kais tak makan la saya jadi macamana saya nak bersedekah?” Persoalan ini nabi telah pun jawab sejak lebih kurang 1400 tahun yang lalu.

Seorang sahabat yang tidak memiliki apa pun untuk disedekah bertanya kepada Baginda SAW, “Jika kami ingin bersedekah, namun kami tidak memiliki apa pun, lantas apa yang boleh kami sedekahkan dan bagaimana kami menyedekahkannya?”
Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah.” (Hadis Riwayat Tirmizi dan Abu Dzar).




Begitu banyaknya caranya untuk kita bersedekah walaupun kita tiada wang ataupun harta. Jadi tiadalah alasan untuk kita tidak bersedekah setiap hari kerana Nabi SAW dah membuka jalan kepada kita untuk menjadi seorang yang pemurah. Senyum merupakan sunnah Rasulullah SAW yang paling mudah untuk kita ikut. Rasulullah merupakan orang yang paling pemurah dengan senyuman. Salah seorang sahabat, Abdullah bin Harits, pernah menyatakan tentang Rasulullah SAW, “Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW.” (Hadis Riwayat Tirmizi).

Melalui senyuman juga kita dapat mengelakkan diri kita dari bahaya atau menolak bala yakni musibah. Dari Sayyid Ali Ar-Ridha, dari Sayyid Ja’far Ash-Shadiq, dari Sayyid Ali Zainal Abidin, dari Ali bin Abi Thalib Radiyallahu Anhum, bahwa Rasulullah SAW bersabda, “Sedekah itu dapat menghindarkan diri dari kematian yang tidak baik, menjaga diri dari tujuh puluh macam bencana.” Ini yang dijanjikan kepada kita umat akhir zaman. Jadi seharusnya kita berlumba-lumba dalam membuat kebaikkan dan ibadat.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian,

Untuk membuktikan dan menguatkan lagi fakta bahawa senyuman sememangnya sifat terpuji dan mampu memberi pelbagai kebaikkan kepada kita, Sarjana Sains telah memmberitahu kita bahawa senyum merupakan satu bentuk senaman berbentuk jogging dalaman yang dapat merangsang seluruh tubuh melaui sistem saraf otak dan juga hormon-hormon. Apabila kita tersenyum, badan turut ‘tersenyum’ dan memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak. Ini sangat bermanfaat dalam mengelakkan tekanan darah yang tinggi ke otak.
Selain itu juga, apabila kita tersenyum, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi. Senyuman bukan hanya sekadar reaksi terhadap sesuatu, malah ia juga terlibat dalam penghasilan endorphin yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu merasa lebih selesa dengan diri sendiri dan apabila kita senyum, sel pembunuh tumor dan virus semulajadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-interferon (protein melawan penyakit), sel T (yang penting untuk sistem pertahanan badan) dan sel B (yang menghasilkan antibodi untuk melawan penyakit).

Banyak lagi manfaat tentang senyuman ini termasuk mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan bahan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, arthritis dan ulser. Oleh itu, senyuman dan ketawa adalah senaman yang baik kerana ia membabitkan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan otot belakang badan. Ia ibarat urutan terhadap organ-organ dalam abdomen dan menguatkan otot abdomen, merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan daya tumpuan belajar. Ia juga melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi, membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru. Senyuman juga mampu menjadi penawar kepada penyakit rohani yang kronik. Ia juga mampu menyejukkan hati yang sedang marah dan memulakan sebuah ukhuwwah.

Berbeza pula dengan senyuman buat-buat atau senyuman palsu. Guillaume Duchenne (1806-1875), ahli neurologi Perancis merupakan seorang pakar dalam elektro-diagnosis dan elektro-terapi telah membuat kajian berkaitan senyuman. Beliau telah membuat perbandingan anatomi terhadap senyuman asli dan senyuman palsu. Berdasarkan keputusan yang diperolehi, beliau mendapati bahawa senyuman sebenar yang terhasil daripada rasa gembira dan bahagia bukan sahaja menggerakkan otot-otot di bahagian mulut, malahan juga otot di bahagian pipi dan mata. Berbanding senyuman palsu yang hanya melibatkan otot sekitar mulut. Senyuman Duchenne (Duchenne smile) telah diambil bersempena nama beliau. Satu lagi kajian berkaitan senyuman telah dilakukan oleh penyelidik-penyelidik di Wayne State University, Michigan terhadap 230 orang pemain besbol yang tercetak gambar mereka di majalah Baseball Register pada tahun 1950an. Penyelidik membahagikan mereka kepada tiga kumpulan iaitu tidak senyum, senyum separuh iaitu hanya otot mulut sahaja yang terlibat dan tersenyum lebar iaitu dengan mengangkat otot pipi dan sekitar mata. Kemudian para penyelidik membandingkan gambar dengan jangka hayat pemain. Didapati bahawa bagi kategori 'tidak senyum' secara puratanya hidup sehingga 72.9 tahun, kategori 'senyum separuh' purata hidupnya 75 tahun sedangkan mereka yang dalam kategori 'tersenyum lebar' hidup sehingga umur 79.9 tahun secara puratanya. Tujuh tahun lebih lama berbanding rakan-rakan mereka yang tidak senyum. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Psycological Science ini menegaskan bahawa senyuman palsu tidak menyumbang kepada kesan yang sama.

Sekian,

Disediakan oleh: Mohamad Hanis

No comments:

Post a Comment